Tipikal

Catatan Maya Yang Bukan Luar Biasa

7:22 PM

Kesibukan Dunia Sebagai Cerminan Akhirat

Posted by bukan penulis tegar |

Semalam, aku diingatkan tentang tafakkur dalam sesi duduk bertemu lutut mingguanku. Duduk bertemu lutut yang menemukan hati-hati yang mempunyai harapan yang sama, cita-cita yang sama, dan matlamat akhir yang sama.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bertafakur sesaat adalah lebih baik daripada beribadat setahun.” (Riwayat ad-Dailani) 

Usai usrah, aku meletakkan tekad dalam diri, mahu menjadi insan yang selalu bertafakur. Bertafakurlah, terlalu banyak perkara yang boleh ditelaah. Fikirkan kejadian alam semesta, fikirkan tentang keaiban diri kita agar kita malu dan berusaha mengubahnya, fikirkan tentang syuga neraka, atau fikirkan tentang apa sahaja yang berlaku disekelilingmu. Ibadah hati itu lebih baik dari ibadah anggota. Maka, laksanakanlah. Hadirkan hatimu disetiap waktu dalam setiap amalmu.


28 Feb 2012
Hari ini , aku pulang dari sekolah perubatan itu seorang diri. Sesak. Ibu kota ardhul kinanah ini padat dengan manusia. Kereta seakan-akan bergerak lebih perlahan berbanding si pejalan kaki. Hon kereta bingit, ditekan bertubi-tubi. Entah, mana pergi fasabrun jamil”? Aku jalan bersahaja . Tak ada apa yang perlu aku kejarkan. Kerap juga langkah  terhenti. Terpaksa mematikan langkah dan mencari arah lain yang boleh aku lalui, mengelak dari kesesakan manusia di situ.

“Sebaiknya manusia kau ciptakan, hinanya angkara diri sendiri, sedegup jantung terleka, dibuai  arus dunia, selangkah kau menghampiri kehancuran….”  lagu “Setelah Aku Dipaling” dendangan Rast kedengaran dalam riuk pikuk manusia dari mp3 sony hitamku. Lagu ini memberikan mood yang cukup baik untuk aku refleksi diri ketika ini.

Di tepi jambatan yang dibawahnya mengalir sungai Nil yang taat, kelihatan sekumpulan manusia seperti berkumpul memerhatikan sesuatu . Beberapa langkah  dari situ,  aku dengar suara lantang seorang wanita separuh abad, disahut dan dibalas bertubi-tubi pula oleh lelaki yang kelihatan agak sebaya dengannya. Juga beberapa orang lain disekeliling turut serta “memeriahkan” suasana mungkin. Tegang. Masing-masing bermuka masam dan muram. Saling menyalahkan. Entah, aku tidak cuba memahamkan apa yang mereka tuturkan. Yang pasti, orang arab kalau dah bergaduh, memang bergaduh sungguh-sungguh, memaki hamun, keluarlah istilah-istilah anak himar, anak anjing, rumah terbakar, dan sebagainya. Tapi masyarakat arab bila bergaduh, pertelingkahan akan tamat di situ. Bila tamat, maka ertinya tamat.  Tak berdendam sampai tujuh keturunan.

Agaknya dekat akhirat nanti, macam ni lah kita sesama manusia akan bergaduh. 
Suara lantang yang penuh amarah, penuh kekesalan. Masing-masing menuntut hak. Masing-masing cuba menuding kesalahan kepada yang lain. Masing-masing cuba membuktikan yang diri mereka tidak bersalah. .

“Kau dulu kat dunia, kenapa tak pernah nak menegur aku? Kenapa kau tak ajak aku tinggalkan kejahatan, tinggalkan jahiliyah? Sebab kau tak beritahu aku tentang kebenaran, kau tak boleh masuk syurga dengan senang lenang"

Aku cuba membayangkan suasana akhirat. Hanya itu dialog yang bermain dikepalaku ketika melihat suasana di situ. Maka, jawablah dengan tuhan, di mana penyaksianmu terhadap kebenaran? Sahabat baik akan bergaduh di akhirat, anak dan ibu saling bertengkaran, suami dan isteri saling menyalahkan. (sigh)

Pakcik peniaga ubi kayu bakar tekun membakar ubinya. Beberapa langkah dihadapan, pakcik peniaga barang serbaneka masih sibuk dengan jualannya. Para pembeli sedang bermain “tarik-tali” dengan penjual. Siapa tak nak harga murah! Di sini, skill berunding harga dengan penjual perlu dipraktiskan sebaik mungkin demi keuntungan kita sebagai pembeli. Siapa pandai nego, dia untung! Terlintas ketika itu , di dunia ni, kita masih mampu berunding, main “tarik tali” dengan penjual, tapi dihari amal kita dihisab, segala pujuk rayu kita, skill sehebat mana pun, tidak akan mampu mengurangkan atau melebihkan nilai dosa dan pahala kita. Pengecualian hanya dengan rahmat Allah yang pemurah, lagi maha penyayang. Pilihlah, nak untung di dunia atau pun diakhirat. Pilihlah jual beli yang Allah dah sarankan dalam Al-Quran demi menjamin kebahagiaan kehidupan yang abadi nanti.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? 

Iaitu kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui." (As-Saff : 10-11)

****************************************************************


Petang itu, ada destinasi yang perlu aku tuju. Bersiap-siap dengan apa yang patut, usai semuanya, aku turun dari rumahku di tingkat 5. “Alamak, dompet tertinggal kat atas lah”, keluh aku pada mereka. Aku buat keputusan untuk tidak naik ke atas, penat kot  nak kena naik tingkat 5 yang tidak berlif. Mujur ada masukkan beberapa keeping syiling dan sekeping LE20 dalam beg tadi. Cukup untuk tambang perjalanan pergi balik. Itu pilihan aku. Aku memilih untuk tidak naik semula ke atas, sedangkan aku  boleh membuat pilihan untuk naik balik ke atas dan membawa bekal duit yang lebih dari ini.Cuma perlukan usaha dan korbankan sedikit tenaga. Aku membayangkan hari hisab. Bezanya dunia dan akhirat, di sana aku tiada lagi pilihan. Yang ada hanya ketetepan dan keputusan tuhan. Tiada pilihan untuk berpatah balik, tiada alasan untuk menangguhkan perjalanan. Pergilah berjumpa tuhan dengan sekadar apa yang ada ditangan. Hanya itulah bekalan. No return, No U turn.

**************************************************************************

Metro sesak luar biasa hari ini. Ribuan manusia agaknya yang menggunakan perkhidmatan kereta api laju itu dalam satu masa. Segenih ke mana-mana stesen  mungkin menjadi faktor yang menyebabkannya menjadi pilihan utama. Entah ada apa hari ini, melimpah-limpah manusia. Kami gagahkan diri, dengan kudrat yang tak seberapa, "merempuh" masuk ke dalam perut metro. Padat. Sangat. Padat sangat, ok! Bukan sesak yang macam biasa-biasa tu. Metro bergerak ke stesen Saad Zaghloul. Tak pernah seumur hidup naik metro di Mesir ni, pengguna metro yang menunggu di stesen Saad seramai ini. Bila pintu metro dibuka je, Ya Allah, menderu laju macam empangan pecah  orang yang nak meluru masuk. Ada yang dah menjerit-jerit di pintu metro, memaksa penumpang lain memberi ruang kepada meraka. Aku toleh kiri dan kanan.Ke depan dan belakang. Mustahil! Memang dah tak ada ruang. Ruang yang ada cuma atas kepala. Perlu ke aku panjat?

Metro bergerak ke stesen seterusnya. Stesen Sadat. Oh tidak, lautan manusia lagi. Ada yang mahu keluar dari gerabak ini, tapi gerombolan yang hendak masuk lebih ramai lagi. Nak keluar pun takut-takut, entah ada laluan entah tidak. Tiba di Sadat, penumpang yang nak turun, bertolakan di pintu tengah. Risau, bimbang jika tidak sempat turun. Takdir Allah nak menguji kesabaran makhluknya, salah satu pintu tengah metro tak terbuka. Menjerit-jeritlah penumpang yang nak turun. Huh. Aku yang ditengah-tengah lautan manusia ini, tiba-tiba bagaikan dipukul gelombang ombak besar. Bagai terumbang-ambing di lautan, kelemasan. Ya, badan melayu ni apalah nak dibandingkan dengan wanita mesir yang gagah sebab makan fuul dan to’miyyah setiap hari. Ada kemungkinan je ada orang boleh pengsan, atau mati juga mungkin dek kelemasan atau terpijak, macam yang berlaku dalam football match beberapa minggu yang lepas. Penumpang dari pintu yang tidak terbuka tu, bergegas menuju ke pintu hujung untuk turun. Terlambat. Pintu tertutup. Gegak-gempitalah suasana ketika itu. Keluhan kecewa dari mereka. Namun ada juga yang bergelak ketawa, lucu bercampur duka agaknya.

Semua penumpang yang mahu turun tadi, masih bertolakan, masing-masing  mahu bersedia di hadapan pintu untuk keluar. Aku dicelah-celah mereka umpama…..tak pasti nak describe apa. Yang kanan menolak ke kiri, yang belakang menolak ke depan, yang kiri juga tak kurang hebatnya. Dari pemerhatianku ketika itu, semua penumpang mahu diri mereka menjadi yang terawal keluar, mahu cepat-cepat, tak sabar untuk berlama-lama dalam metro yang kalah sardin dalam tin. Macam mana pula akhirat nanti. Dengan manusia yang terlalu amat sangat ramai. Bayangkan, kalau rakyat Kaherah sahaja sudah puluhan juta untuk jangka satu zaman. Tambahkan generasi manusia yang pernah bernyawa di bumi Kaherah sejak zaman dulu kala. Ditambah pula dengan rakyat Amerika, Malaysia, Indonesia, atau di mana sahaja tempat yang ada makhluk bernama manusia. Phewww, ramai tak terkata. Dari umat keturunan Nabi Adam, sehinggalah sekarang. Can you imagine? Huh. Bayangkan kita semua dikumpulkan di mahsyar nanti, dan kita semua tak sabar menanti diri kita dihisab. Tunggu dan tunggu dan tunggu dan tunggu lagi. Entah bila kita akan dipanggil. Entah bila kita akan bebas dari zon menunggu di mahsyar nanti. Menunggu dalam metro, masih berkipas. Masih ada ruang untuk bernafas walaupun terpaksa berkongsi oksigen, dan segala macam mikroorganisma dan bau-bauan dengan berbagai jenis manusia. Tapi bagaimana di mahsyar nanti, jarak matahari dengan kita sejengkal? (Ke ada payung emas? hehe).

Dalam metro yang penuh sesak itu, aku lihat seorang ibu mendukung anaknya. Dalam kesesakan itu, akhirnya anak itu tertidur dalam dakapan ibunya. Akhirat nanti? Ibu tidak mengenal anak, suami tidak mengenal isteri, masing-masing akan sibuk memikirkan hisab dirinya sendiri. Bahkan satu keluarga yang kelihatan bahagia di dunia, mungkin sahaja bercakaran di akhirat. Sahabat yang dahulunya berjanji sehidup semati, saling menyalahkan sesama sendiri. Semua akan cuba menebus apa sahaja harta yang dimilikinya, dan sesiapa sahaja untuk menyelamatkan dirinya. Namun, segala tebusan itu memang tidak akan ada harga. Tiada keuntungan di sana. Eh, hakikatnya, mana ada apa-apa dalam dunia ini yang yang milik mutlak kita. Semuanya pun hanya pinjaman Tuhan. Ya, Allah yang Maha Pemurah itulah yang meminjamkan segala-galanya buat kita. Dan Allah berhak mengambil dan menuntut kembali apa yang dipinjamkan kepada kita bila-bila masa sahaja mengikut kehendaknya. Kalau peminjam tu banyak buat hal, banyak buat perangai, sangatlah boleh Allah nak tarik balik segala nikmat pinjaman itu. Sekelip mata sahaja. Tapi ada satu lagi hakikat yang kita kena sedar.

“Seandainya dunia ini di sisi Allah senilai harganya dengan sayap nyamuk niscaya Allah tidak akan memberi minum barang seteguk sekalipun kepada orang kafir” (HR. Tirmidzi, dan dia berkata: ‘hadits hasan sahih’)

Dalam pada itu, aku bersyukur atas satu nikmat besar di sini, gerabak ini gerabak wanita sahaja. Alhamdulillah.Alhamdulillah. Alhamdulillah. At least, cuma kena risau dengan pick pocket je.
Tapi dekat Malaysia pun sekarang kira oklah, dah ada sistem yang sama kan untuk train?

Akhir kalam dari aku. Bertafakurlah. InsyaAllah, kita tidak akan rugi. Wallahualam.


NOTA KAKI
fasabrun jamilفَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ
Maka hanya bersabar itulah yang terbaik (bagiku), dan hanya kepada Allah sahaja memohon pertolonganNya terhadap apa yang kamu ceritakan. (Yusuf : 18)




2 comment:

Anonymous said...

balik malam guna musyrif x??haha..
:) semoga dalam lindunganNya selalu..

bukan penulis tegar said...

musyrif tu apa? hehe
:D
insyaAllah.
semoga dalam lindungan Allah jua.